4 Ogo 2010

PERTANDINGAN PENGURUSAN BILIK SUMBER PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH (PPDa) DI SEKOLAH BAHAGIAN SEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah ( PPDa ) adalah merupakan “one stop centre” yang menyediakan satu pusat akses maklumat pendidikan pencegahan dadah yang lengkap kepada murid-murid, guru, ibu-bapa dan komuniti setempat. Maklumat dan bahan-bahan berkaitan PPDa dalam pelbagai medium boleh meningkatkan lagi pengetahuan murid khususnya tentang bahaya penggunaan dadah,rokok,inhalan dan juga gejala sosial lainnya. Malah apa sahaja maklumat yang mempunyai hubungkait dengan masalah penggunaan dadah boleh dimuatkan bagi menambah nilai maklumat yang sedia ada.
Bilik Sumber PPDa Sekolah dicadangkan diwujudkan di setiap sekolah terutamanya bagi sekolah-sekolah yang berada di persekitaran yang berisiko tinggi. Bagi sekolah-sekolah yang tidak dapat menyediakan sebuah bilik untuk tujuan tersebut, boleh mewujudkan Sudut PPDa seperti menggunakan sudut-sudut di bawah tangga bangunan, dinding atau lorong di dalam bangunan, sudut di dalam bilik kaunseling, bilik disiplin, bilik kesihatan / rawatan atau tempat-tempat lain yang difikirkan sesuai.
Secara umumnya, Bilik Sumber PPDa Sekolah bukan sahaja sebagai pusat untuk mengakses maklumat berkaitan PPDa, malah merupakan pusat operasi atau bilik gerakan kepada JK PPDa di sesebuah sekolah.  Bilik Sumber PPDa dapat memberikan impak yang lebih besar kepada perancangan dan pelaksanaan program PPDa di sekolah melalui empat strategi utama, pengurusan dan kepimpinan, kurikulum, ko-kurikulum dan pembangunan sahsiah. Ia juga boleh digunakan sebagai tempat membangunkan karekter murid khususnya bagi melahirkan murid-murid yang memiliki minda dan sikap antidadah.

RASIONAL
Dapatan kajian ( NIDA : 2000 ) menunjukkan bahawa sekolah adalah institusi terbaik bagi memberikan pendidikan pencegahan awalan.  Sementara itu, pendekatan interaktif, program yang bersifat jangka panjang dan ada pengukuhan didapati lebih memberikan kesan kepada murid-murid. Oleh itu, Bilik Sumber PPDa Sekolah dilihat sebagai pemangkin dan sangat wajar diwujudkan di setiap sekolah bagi memudahkan pihak sekolah menyebar bahan dan maklumat PPDa secara interaktif, sistematik dan efektif disamping dapat diakses dengan mudah oleh murid-murid,guru dan masyarakat sekitarnya.

MATLAMAT
Bilik Sumber PPDa diwujudkan untuk menyediakan satu pusat sumber maklumat lengkap berkaitan pendidikan pencegahan dadah yang boleh diakses oleh murid, guru dan juga ibu bapa dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran membanteras penggunaan dadah ke arah merealisasikan hasrat melahirkan Sekolah Bebas Dadah Daripada Dadah Menjelang Tahun 2012.

OBJEKTIF 
  • Menyediakan satu pusat akses maklumat lengkap berkaitan Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah-sekolah. 
  • Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pendidikan pencegahan dadah di kalangan murid secara lebih sistematik dan berkesan. 
  • Menjadi bilik gerakan kepada perancangan dan pelaksanaan program Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah. 
  • Menjadi tempat interaksi murid-murid dalam usaha membangunkan  karekter murid cemerlang.

PENILAIAN DAN PEMANTAUAN 
  • Bilik Sumber PPDa Sekolah boleh dipantau dari masa ke semasa oleh Pegawai-Pegawai KPM, Jabatan Pelajaran dan PPD bagi memastikan ia berjalan dengan baik.
    Bilik Sumber PPDa Sekolah yang berfungsi dengan baik dan berupaya menjadikan murid -muridnya bebas daripada pengaruh dadah akan diberikan pengiktirafan di peringkat  daerah, negeri dan juga kebangsaan.

RUMUSAN
Penubuhan Bilik Sumber PPDa Sekolah adalah satu lagi inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mencapai wawasan mewujudkan sekolah-sekolah yang bebas daripada ancaman dadah seterusnya menjadikan institusi sekolah lebih kondusif dan selamat kepada murid-murid.

Disediakan oleh : Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, 
Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah, KPM.

16 Jul 2010

Perkhemahan Kokurikulum Tahunan SMK Pitas II, Tahun 2010

Perkhemahan ini adalah satu aktiviti luar yang diadakan dikawasan yang sesuai seperti hutan, pantai, bukit, gunung atau mana-mana kawasan yang bersesuaian. Aktiviti seperti ini dapat mendedahkan pelajar dengan kehidupan di luar persekitaran mereka yang biasa. Aktiviti ini menyediakan pelbagai pengetahuan dan pengalaman untuk perkembangan mental, minat, bakat, jasmani, rohani dan pembentukan nilai-nilai estetika serta sosial yang positif.

Matlamat

Perkhemahan ini bertujuan untuk meningkatkan abiliti dan daya usaha kendiri pelajar. Disamping itu, ia juga bagi meningkatkan kesedaran dan ketakwaan kepada Tuhan Maha Pencipta alam semesta.

Objektif 
  1. Memupuk semangat keberanian dan kreativiti pelajar.
  2. Meningkatkan semangat berpersatuan, displin dan setia kawan.
  3. Meningkatkan tahap kesihatan pelajar dari segi fizikal dan mental.
  4. Membina dan meningkatkan kerjasama dan sumbangan hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat.
Sasaran
  •   Penyertaan : 20 orang setiap Unit Beruniform / Pakaian Seragam Sekolah (PBSM, Pengakap, Pandu Puteri, Puteri Islam Kadet Polis, KRS dan Silat Gayong).
  • Fasilitator : Guru-guru SMK Pitas II.

Tarikh : 16 - 18hb Julai 2010 (Jumaat - Ahad)

Tempat : Kawasan Padang Sekolah.

Diharapkan agar semua guru SMK Pitas II yang terlibat dapat memberikan sepenuh komitmen dan menyumbangkan idea kepada kelancaran program tahunan ini. Program ini diharap dapat memberi semangat dan sokongan moral kepada Pasukan Pakaian Beragam atau kelab/persatuan untuk mengadakan aktiviti seumpama ini pada masa akan datang di kawasan perkhemahan yang lebih mencabar.

12 Jul 2010

Majlis Penyerahan Slip Keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun

Tarikh : 13 Julai 2010 (Selasa)
Masa : 8:00am - 12:00pm
Tempat: Dewan Terbuka SMK Pitas II

Majlis bertujuan untuk bertemu dengan ibubapa/penjaga pelajar bagi penyerahan slip keputusan peperiksaan pertengahan tahun pelajar, disamping membincangkan isu-isu yang berkaitan mengenai anak dibawah jagaan mereka dan lain-lain.

3 Jun 2010

Program Kecemerlangan Pelajar (PKP), Pitas

Program Kecemerlangan Pelajar (KPK), Pitas program ini adalah tajaan Kementerian Luar Bandar Dan Wilayah anjuran bersama Great Impact Resources (Training & Development) dan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd.

Konsep Program
  • Program dilaksanakan berkonsepkan Experiential Learning - gabungan ceramah dan amali.
  • Program ini secara umumnya bermatlamatkan mempersiapkan pelajar dengan kemahiran menghadapi peperiksaan sama ada PMR ataupun SPM.
Objektif
  1. Memberikan kefahaman kepada pelajar-pelajar tentang kaedah-kaedah menjawab kertas peperiksaan bagi subjek-subjek teras yang betul.
  2. Memantapkan keyakinan pelajar-pelajar untuk menghadapi peperiksaan.
  3. Membantu pelajar untuk mengenalpasti kesilapan-kesilapan yang lazim dilakukan sebelum, semasa dan pasca peperiksaan.
  4. Mempersiapkan pelajar-pelajar dari segi fizikal, minda dan emosi dalam menghadapi peperiksaan.
  5. Meningkatdkan motivasi pelajar-pelajar untuk berjaya dalam peperiksaan yang bakal ditempuhi.

Rasional
Program ini bakal menyediakan panduan persendirian menduduki peperiksaan sebagai strategi tahap akhir agar perkara-perkara kecil yang boleh menjejaskan keputusan dan prestasi akademik sebenar dapat dielakkan. Di samping itu, ianya akan mendedahkan cara-cara atau standard yang diperlukan dalam menjawab peperiksaan untuk mencapai keputusan yang sepatutnya.

Perlu diambil perhatian bahawa peperiksaan memungkinkan ulangkaji yang berbulan lamanya bertukar sia-sia dalam sekelip mata hanya kerana pelajar tidak mahir menghadapi ragam dan situasi sebenar peperiksaan. Pelajar yang pintar, tapi lemah dari segi kemahiran menghadapi peperiksaan, mungkin akan cenderung mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan. Maka, program ini diharap dapat bertindak sebagai penggera agar pelajar tidak terlupa untuk melatih diri agar bersedia dari pelbagai segi untuk menduduki peperiksaan.

Motto 
Kejayaan Akan Ku Genggam.

Kumpulan Sasaran
Kumpulan 1 - 60 pelajar dari SMK Pitas II dan 60 pelajar SMK Kanibongan yang akan menduduki PMR.
Kumpulan 1 - 60 pelajar dari SMK Pitas II dan 60 pelajar SMK Kanibongan yang akan menduduki SPM.

Tarikh
  1. PKP PMR : 04 - 06 Jun 2010
  2. PKP SPM : 18 - 20 Jun 2010
Lokasi 
Sekolah Menengah Kebangsaan Pitas II, Pitas.

Kandungan
A. Ceramah Motivasi Pelajar Cemerlang.
B. Ceramah teknik menjawab kertas peperiksaan subjek teras.
C. Simulasi peperiksaan.
D. Aktiviti kerohanian.
E. Aktiviti Riadah.

Kesimpulan
Great Impact hadir dalam masyarakat dengan iltizam menyokong usaha pembangunan insan yang bertakwa, seimbang dan berkualiti tinggi melalui penganjuran program-program seumpama ini. Diharap cadangan ini dapat dipertimbangkan untuk diluluskan kerana gandingan erat dan keikhlasan semua pihak dalaam menganjurkan program ini bakal memberi kesan positif berjangka panjang kepada pelajar, sekolah, negeri sabah dan negara.


17 Mei 2010

Minggu Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010 akan bermula pada hari ini;

Tarikh :  17 - 27 May 2010 - Menengah Atas
              24 - 27 May 2010 - Menengah Rendah

Masa :    8.00am - 3.30pm (Isnin - Jumaat)

Sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai jadual waktu pelaksanaan peperiksaan, anda boleh berhubung terus dengan Ketua Unit Peperiksaan dan Penilaian SMK Pitas II Cikgu Asnah Salamat.

Kepada semua pelajar SMK Pitas II, selamat menduduki peperiksaan dan selamat maju jaya.

5 Mei 2010

Minggu Anti-Dadah SMK Pitas II

Minggu Anti-Dadah ini merupakan salah satu program Kelab Pencegah Jenayah SMK Pitas II, dibawah Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Pitas II berhasrat untuk mengikuti pertandingan Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) yang dianjurkan oleh Unit Pencegahan Dadah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Pertandingan tersebut akan mengambil kira aktiviti yang dijalankan dimana salah satu aktiviti yang dicadangkan ialah minggu Anti-Dadah. Selain sebagai memenuhi syarat yang digariskan oleh pihak penganjur, program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran para pelajar keatas kesan-kesan pengambilan dadah dan dapat menghindarkan diri daripada najis dadah.

Objektif
  1. Meningkatkan kesedaran para pelajar akan kesan-kesan dadah dalam kehidupan.
  2. Menyemai dan menanam sikap untuk membenci dan menjauhkan diri daripada dadah.
  3. Sebagai memenuhi syarat pertandingan Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).
Sasaran

Semua pelajar SMK Pitas II.

Tarikh, Masa, Tempat

Tarikh     : 3 - 8 Mei 2010
Hari        : Isnin - Sabtu
Masa      : Sepanjang Minggu
Tempat   : Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa)

Antara Aktiviti YangDijalankan
  1. Pertandingan menulis esei.
  2. Pertandingan teka silang kata.
  3. Pertandingan melukis poster anti-dadah.
  4. Pertandingan Mendeklamasi sajak.
  5. Pertandingan menghasilkan buku skrap.
Diharapkan aktiviti Minggu Anti-Dadah ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dapat mencapai objektif yang diingini. Adalah diharapkan aktiviti-aktiviti seperti ini akan terus berkembang dan mendapat sambutan yang baik dari semua pihak demi kesedaran untuk mencegah dan menghapuskan dadah. Semoga usaha murni ini mendapat sokongan dari semua pihak dan memberi manfaat sepenuhnya kepada murid-murid khususnya.

Strategi Penampilan Diri

PENAMPILAN diri adalah salah satu aspek yang penting dalam penilaian peribadi seseorang murid. Ia bukan sahaja memberi satu gambaran yang positif terhadap nilai seseorang tetapi juga mampu mempengaruhi prestasi kecemerlangan murid itu sendiri.
Penampilan diri dapat dilakukan oleh murid melalui beberapa aspek berikut:

• Kekemasan diri

Anda harus kelihatan ”smart”, kacak, ”macho” segak dan lawa dari segi pakaian dan pengurusan diri. Ini bukan bermakna anda perlu membeli pakaian yang mahal dengan jenama yang terkenal atau menghias diri dengan solekan yang berlebihan tetapi sekadar memberi keselesaan pada diri sendiri dan kepada mereka yang melihat anda. Pakaian yang comot dengan keadaan diri yang tidak terurus menjadikan diri kita tidak bersemangat dan tidak dipedulikan orang. Lihatlah sahaja betapa segak dan mantapnya seorang murid yang berpakaian seragam sekolah yang lengkap atau berpakaian seragam bagi unit pakaian seragam. Mereka ini kelihatan ceria, berdisiplin, mudah mesra dan aktif dalam menjalankan tugas. Anda juga boleh kelihatan seperti mereka dengan mengenakan pakaian yang serba lengkap sebagai seorang murid sekolah.

• Budi pekerti dan akhlak mulia

Berbudi pekerti dan berakhlak mulia dapat dilihat melalui interaksi dengan guru, rakan-rakan dan ibu bapa. Percakapan yang bersopan adalah percakapan yang tidak menyakiti hari orang lain. Senda gurauan yang keterlaluan, ejekan dan sindiran kepada rakan boleh mengeruhkan suasana persahabatan dan akan menjadi bibit-bibit perselisihan dan pergaduhan. Jika anda mampu berinteraksi dengan lemah lembut, menggunakan bahasa yang sedap didengar seperti kata-kata pujian, penghargaan dan kata-kata semangat, anda mudah mendapat rakan dan anda akan sentiasa dihormati oleh mereka. Guru dan ibu bapa juga akan mudah didampingan jika anda dapat berinteraksi dengan mereka secara bersopan, berlemah-lembut dan sentiasa menghormati mereka.

• Perlakuan dan tabiat yang berkesan

Kedua-dua ciri ini berkehendakkan seseorang murid itu rajin berusaha, bersemangat dan bermotivasi tinggi tanpa berputus asa, proaktif, sentiasa patuh pada peraturan dan agama serta mempunyai keyakinan untuk berjaya. Murid seperti ini akan terus berusaha tanpa dipaksa, mengambil bahagian yang aktif dalam aktiviti akademik dan kokurikulum, rajin membuat ulang kaji, dan tidak merasa jemu bertanya kepada guru untuk menyelesaikan sebarang masalah pembelajaran. Mereka inilah yang akan mampu meraih kecemerlangan dalam kehidupan.

Pada hakikatnya, penampilan diri adalah amat diperlukan terutamanya pada kalangan murid di sekolah sebagai medan perjuangan ke arah mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. 

Oleh DR. ISMAIL ZAIN - Utusan Malaysia.

22 Apr 2010

SMK Pitas II Menjadi Tuan Rumah Sukan Pertandingan Bola Jaring peringkat Daerah

SMK Pitas II, menjadi tuan rumah sebagai pusat penempatan bagi pelajar-pelajar dan guru-guru yang terlibat pada sukan kali ini. Antara daerah yang terlibat ialah daerah Pitas, Kota Marudu, Kota Belud dan Kudat. Kategori pelajar daripada sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas. Latihan telah dijalankan selama seminggu daripada 16 April - 21 April dan pertandingan berlangsung pada 22 April 2010 ini bertempat di padang sekolah SK Kusilad, Pitas. Aktiviti kokurikulum ini adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi prestasi sukan sekolah di Malaysia selain mengeratkan lagi hubungan antara sekolah-sekolah yang terlibat. Kepada semua pelajar dan guru yang  terlibat sepanjang aktiviti ini berlangsung, pihak sekolah ingin mengucapkan tahniah diatas komitmen yang diberikan dan semoga berjaya daripada kami warga SMK Pitas II.

9 Mac 2010

Kem Pemantapan Kepimpinan

Kem pemantapan kepimpinan pengawas, ketua darjah dan pembimbing rakan sebaya ini bermula pada 5 - 7 Mac 2010 bertempat di SMK Pitas II, Pitas. Kem ini merupakan aktiviti di bawah unit Hal Ehwal Murid SMK Pitas II, Pitas. Berdasarkan pemerhatian dan keperluan sekolah masa kini, kursus ini dijangka akan memberi manfaat dan mempunyai keberkesanannya kepada pelajar yang terlibat, terutamanya kepada pengawas, ketua darjah, pengerusi persatuan dan pembimbing rakan sebaya ke arah merealisasikan matlamat kerajaan atau sekolah ke arah "Kosong Masalah" menjelang 2012.

Kursus ini bermatlamat untuk melahirkan para pelajar, pengawas, ketua darjah, pengerusi persatuan dan pembimbing rakan sebaya yang berdisplin dan cemerlang dari segi akademik, sahsiah, mental dan rohani yang kuat, teguh dan tahan menghadapi cabaran dan dugaan dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sekolah ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Seterusnya akan menjadi warganegara yang baik pada masa akan datang.

Objektif kursus ini diadakan adalah untuk:

  • Melahirkan pengawas, ketua darjah dan pembimbing rakan sebaya yang berdisplin.
  • Membentuk sahsiah diri cemerlang pengawas, ketua darjah dan pembimbing rakan sebaya.
  • Melahirkan pelajar contoh dalam semua aspek kehidupan.
  • Memantapkan tahap displin para pelajar SMK Pitas II, Pitas.
  • Melahirkan warganegara yang berintegriti.

 Kumpulan Sasaran ialah:
  • Pengawas
  • Ketua Kelas
  • Pembimbing Rakan Sebaya
  • Urusetia Pelajar

5 Mac 2010

Membentuk Tabiat Positif

BERSIKAP positif merupakan permulaan kepada kejayaan yang cemerlang. – Gambar hiasan


Sesungguhnya tabiat seseorang itu mempengaruhi tindakan serta prestasi diri sepanjang tahun. Sebagai seorang murid anda harus membentuk tabiat positif di awal tahun lagi agar segala tindakan anda mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Begitulah pepatah melayu yang memberi maksud bahawa sesuatu kesedaran harus berlaku di peringkal awal agar mencukupi masa untuk membetulkannya. Oleh itu bagi diri murid membentuk sikap positif itu haruslah dilakukan sekarang agar ia dapat memberi ruang meningkatkan prestasi diri tanpa berasa bosan atau menggunakan faktor masa sebagai alasan. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti berikut:

• Positif terhadap kesukaran yang dihadapi: Terdapat segelintir murid yang menggunakan alasan bahawa belajar itu amat sukar untuk difahami. Memang betul dalam proses pembelajaran pelbagai kesukaran dan kesusahan akan dihadapi. Menghafal sifir, menghafal formula, mengingati fakta, mencari bahan isi karangan, melakar peta minda, menyelesai masalah matematik dan sebagainya adalah sukar. Walau bagaimanapun murid-murid harus ingat apa sahaja yang dilakukan itu sukar jika tidak dilatih dengan kaedah-kaedah tertentu. Seorang anak kecil amat sukar untuk berjalan tanpa bimbingan dan kaedah yang tertentu yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Oleh itu ingatlah bahawa sebarang kesukaan itu hanyalah untuk sementara waktu sahaja dan memerlukan usaha untuk mencari kaedah jalan penyelesaiannya.

• Peka terhadap masa: Masa berjalan dengan begitu pantas tanda disedari. Oleh itu rugilah bagi mereka yang tidak peka terhadap perjalanan masa. Untuk mengelakkan kita menjadi rugi maka seseorang murid harus membuat perancangan masa untuk mengatur aktiviti harian agar ia dapat dipenuhi dengan lebih bermakna. Jadual waktu belajar di rumah, jadual aktiviti kokurikulum, jadual untuk aktiviti rekreasi harus dibina, dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa bertangguh-tangguh. Sifat bertangguh-tangguh seperti bertangguh untuk membuat kerja rumah, bertangguh untuk belajar, bertangguh untuk bertanya adalah diantara punca kepada pembaziran masa. Akhirnya semua kerja tidak beres dan istilah kesuntukan masa dijadikan alasan kegagalan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

• Yakin terhadap kebolehan diri: Allah mencipta manusia untuk mencapai kejayaan. Oleh itu sejak kecil kita dilahirkan sudah difitrahkan oleh Allah iaitu kebolehan atau potensi untuk digunakan sebagai penentu kejayaan. Kebolehan dan potensi ini harus diterokai, dicungkil dan diusaha dengan penuh keyakinan untuk mendapatkan hasilnya. Keyakinan merupakan tenaga dalaman yang mampu menjana minda dan menggerak segala anggota untuk berusaha mencapai apa yang diingini. Seseorang yang tidak yakin terhadap dirinya akan sentiasa mengalah, tidak mahu mengambil bahagian secara aktif dalam sebarang aktiviti serta mudah berputus asa, selalu meyindiri kerana beranggapan dirinya hina jika dibandingkan dengan orang lain.

• Berani mencuba untuk kebaikan: Ramai murid berasa malu untuk bertanya atau berasa tersinggug apabila berlakunya sesuatu kesilapan ketika belajar di mana sifat ini harus dikikis dari peringkat awal lagi. Malu bertanya sesat jalan!. Itulah gambaran yang diberikan dalam pepatah melayu yang membawa maksud seseorang yang malu untuk mendapatkan maklumat akhirnya agal menemui kegagalan.

Pembentukan tabit positif ini haruslah diberi penekanan di awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai ikhtibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mengapai kejayaan.

Oleh DR. ISMAIL ZAIN (drismailzain@yahoo.com)
Utusan Malaysia.

3 Mac 2010

Ujian Setara Bagi Pelajar PMR & SPM 2010

Ujian setara ini bermula pada 1 – 11 mac 2010 hanya pelajar tingkatan 3 dan 5 sahaja yang terlibat, mereka akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM pada tahun ini. Ini adalah bertujuan untuk menyiapkan pelajar supaya sentiasa bersedia dan membiasakan diri dengan bentuk-bentuk soalan peperiksaan sebenar yang pelbagai juga menilai prestasi pencapaian mereka. Pihak sekolah mengharapkan yang terbaik daripada semua pelajar dan akan sentiasa memastikan setiap pelajar akan mencapai kejayaan. Selamat maju jaya kepada semua pelajar.

1 Mac 2010

Perlantikan Pengawas Sekolah 2010.

Perlantikan pengawas sekolah oleh Penolong Kanan HEM dan Biro Displin sekolah bagi tahun 2010.