17 Mei 2010

Minggu Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010 akan bermula pada hari ini;

Tarikh :  17 - 27 May 2010 - Menengah Atas
              24 - 27 May 2010 - Menengah Rendah

Masa :    8.00am - 3.30pm (Isnin - Jumaat)

Sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai jadual waktu pelaksanaan peperiksaan, anda boleh berhubung terus dengan Ketua Unit Peperiksaan dan Penilaian SMK Pitas II Cikgu Asnah Salamat.

Kepada semua pelajar SMK Pitas II, selamat menduduki peperiksaan dan selamat maju jaya.

5 Mei 2010

Minggu Anti-Dadah SMK Pitas II

Minggu Anti-Dadah ini merupakan salah satu program Kelab Pencegah Jenayah SMK Pitas II, dibawah Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Pitas II berhasrat untuk mengikuti pertandingan Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) yang dianjurkan oleh Unit Pencegahan Dadah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Pertandingan tersebut akan mengambil kira aktiviti yang dijalankan dimana salah satu aktiviti yang dicadangkan ialah minggu Anti-Dadah. Selain sebagai memenuhi syarat yang digariskan oleh pihak penganjur, program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran para pelajar keatas kesan-kesan pengambilan dadah dan dapat menghindarkan diri daripada najis dadah.

Objektif
  1. Meningkatkan kesedaran para pelajar akan kesan-kesan dadah dalam kehidupan.
  2. Menyemai dan menanam sikap untuk membenci dan menjauhkan diri daripada dadah.
  3. Sebagai memenuhi syarat pertandingan Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).
Sasaran

Semua pelajar SMK Pitas II.

Tarikh, Masa, Tempat

Tarikh     : 3 - 8 Mei 2010
Hari        : Isnin - Sabtu
Masa      : Sepanjang Minggu
Tempat   : Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa)

Antara Aktiviti YangDijalankan
  1. Pertandingan menulis esei.
  2. Pertandingan teka silang kata.
  3. Pertandingan melukis poster anti-dadah.
  4. Pertandingan Mendeklamasi sajak.
  5. Pertandingan menghasilkan buku skrap.
Diharapkan aktiviti Minggu Anti-Dadah ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dapat mencapai objektif yang diingini. Adalah diharapkan aktiviti-aktiviti seperti ini akan terus berkembang dan mendapat sambutan yang baik dari semua pihak demi kesedaran untuk mencegah dan menghapuskan dadah. Semoga usaha murni ini mendapat sokongan dari semua pihak dan memberi manfaat sepenuhnya kepada murid-murid khususnya.

Strategi Penampilan Diri

PENAMPILAN diri adalah salah satu aspek yang penting dalam penilaian peribadi seseorang murid. Ia bukan sahaja memberi satu gambaran yang positif terhadap nilai seseorang tetapi juga mampu mempengaruhi prestasi kecemerlangan murid itu sendiri.
Penampilan diri dapat dilakukan oleh murid melalui beberapa aspek berikut:

• Kekemasan diri

Anda harus kelihatan ”smart”, kacak, ”macho” segak dan lawa dari segi pakaian dan pengurusan diri. Ini bukan bermakna anda perlu membeli pakaian yang mahal dengan jenama yang terkenal atau menghias diri dengan solekan yang berlebihan tetapi sekadar memberi keselesaan pada diri sendiri dan kepada mereka yang melihat anda. Pakaian yang comot dengan keadaan diri yang tidak terurus menjadikan diri kita tidak bersemangat dan tidak dipedulikan orang. Lihatlah sahaja betapa segak dan mantapnya seorang murid yang berpakaian seragam sekolah yang lengkap atau berpakaian seragam bagi unit pakaian seragam. Mereka ini kelihatan ceria, berdisiplin, mudah mesra dan aktif dalam menjalankan tugas. Anda juga boleh kelihatan seperti mereka dengan mengenakan pakaian yang serba lengkap sebagai seorang murid sekolah.

• Budi pekerti dan akhlak mulia

Berbudi pekerti dan berakhlak mulia dapat dilihat melalui interaksi dengan guru, rakan-rakan dan ibu bapa. Percakapan yang bersopan adalah percakapan yang tidak menyakiti hari orang lain. Senda gurauan yang keterlaluan, ejekan dan sindiran kepada rakan boleh mengeruhkan suasana persahabatan dan akan menjadi bibit-bibit perselisihan dan pergaduhan. Jika anda mampu berinteraksi dengan lemah lembut, menggunakan bahasa yang sedap didengar seperti kata-kata pujian, penghargaan dan kata-kata semangat, anda mudah mendapat rakan dan anda akan sentiasa dihormati oleh mereka. Guru dan ibu bapa juga akan mudah didampingan jika anda dapat berinteraksi dengan mereka secara bersopan, berlemah-lembut dan sentiasa menghormati mereka.

• Perlakuan dan tabiat yang berkesan

Kedua-dua ciri ini berkehendakkan seseorang murid itu rajin berusaha, bersemangat dan bermotivasi tinggi tanpa berputus asa, proaktif, sentiasa patuh pada peraturan dan agama serta mempunyai keyakinan untuk berjaya. Murid seperti ini akan terus berusaha tanpa dipaksa, mengambil bahagian yang aktif dalam aktiviti akademik dan kokurikulum, rajin membuat ulang kaji, dan tidak merasa jemu bertanya kepada guru untuk menyelesaikan sebarang masalah pembelajaran. Mereka inilah yang akan mampu meraih kecemerlangan dalam kehidupan.

Pada hakikatnya, penampilan diri adalah amat diperlukan terutamanya pada kalangan murid di sekolah sebagai medan perjuangan ke arah mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. 

Oleh DR. ISMAIL ZAIN - Utusan Malaysia.