4 Ogo 2010

PERTANDINGAN PENGURUSAN BILIK SUMBER PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH (PPDa) DI SEKOLAH BAHAGIAN SEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah ( PPDa ) adalah merupakan “one stop centre” yang menyediakan satu pusat akses maklumat pendidikan pencegahan dadah yang lengkap kepada murid-murid, guru, ibu-bapa dan komuniti setempat. Maklumat dan bahan-bahan berkaitan PPDa dalam pelbagai medium boleh meningkatkan lagi pengetahuan murid khususnya tentang bahaya penggunaan dadah,rokok,inhalan dan juga gejala sosial lainnya. Malah apa sahaja maklumat yang mempunyai hubungkait dengan masalah penggunaan dadah boleh dimuatkan bagi menambah nilai maklumat yang sedia ada.
Bilik Sumber PPDa Sekolah dicadangkan diwujudkan di setiap sekolah terutamanya bagi sekolah-sekolah yang berada di persekitaran yang berisiko tinggi. Bagi sekolah-sekolah yang tidak dapat menyediakan sebuah bilik untuk tujuan tersebut, boleh mewujudkan Sudut PPDa seperti menggunakan sudut-sudut di bawah tangga bangunan, dinding atau lorong di dalam bangunan, sudut di dalam bilik kaunseling, bilik disiplin, bilik kesihatan / rawatan atau tempat-tempat lain yang difikirkan sesuai.
Secara umumnya, Bilik Sumber PPDa Sekolah bukan sahaja sebagai pusat untuk mengakses maklumat berkaitan PPDa, malah merupakan pusat operasi atau bilik gerakan kepada JK PPDa di sesebuah sekolah.  Bilik Sumber PPDa dapat memberikan impak yang lebih besar kepada perancangan dan pelaksanaan program PPDa di sekolah melalui empat strategi utama, pengurusan dan kepimpinan, kurikulum, ko-kurikulum dan pembangunan sahsiah. Ia juga boleh digunakan sebagai tempat membangunkan karekter murid khususnya bagi melahirkan murid-murid yang memiliki minda dan sikap antidadah.

RASIONAL
Dapatan kajian ( NIDA : 2000 ) menunjukkan bahawa sekolah adalah institusi terbaik bagi memberikan pendidikan pencegahan awalan.  Sementara itu, pendekatan interaktif, program yang bersifat jangka panjang dan ada pengukuhan didapati lebih memberikan kesan kepada murid-murid. Oleh itu, Bilik Sumber PPDa Sekolah dilihat sebagai pemangkin dan sangat wajar diwujudkan di setiap sekolah bagi memudahkan pihak sekolah menyebar bahan dan maklumat PPDa secara interaktif, sistematik dan efektif disamping dapat diakses dengan mudah oleh murid-murid,guru dan masyarakat sekitarnya.

MATLAMAT
Bilik Sumber PPDa diwujudkan untuk menyediakan satu pusat sumber maklumat lengkap berkaitan pendidikan pencegahan dadah yang boleh diakses oleh murid, guru dan juga ibu bapa dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran membanteras penggunaan dadah ke arah merealisasikan hasrat melahirkan Sekolah Bebas Dadah Daripada Dadah Menjelang Tahun 2012.

OBJEKTIF 
  • Menyediakan satu pusat akses maklumat lengkap berkaitan Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah-sekolah. 
  • Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pendidikan pencegahan dadah di kalangan murid secara lebih sistematik dan berkesan. 
  • Menjadi bilik gerakan kepada perancangan dan pelaksanaan program Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah. 
  • Menjadi tempat interaksi murid-murid dalam usaha membangunkan  karekter murid cemerlang.

PENILAIAN DAN PEMANTAUAN 
  • Bilik Sumber PPDa Sekolah boleh dipantau dari masa ke semasa oleh Pegawai-Pegawai KPM, Jabatan Pelajaran dan PPD bagi memastikan ia berjalan dengan baik.
    Bilik Sumber PPDa Sekolah yang berfungsi dengan baik dan berupaya menjadikan murid -muridnya bebas daripada pengaruh dadah akan diberikan pengiktirafan di peringkat  daerah, negeri dan juga kebangsaan.

RUMUSAN
Penubuhan Bilik Sumber PPDa Sekolah adalah satu lagi inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mencapai wawasan mewujudkan sekolah-sekolah yang bebas daripada ancaman dadah seterusnya menjadikan institusi sekolah lebih kondusif dan selamat kepada murid-murid.

Disediakan oleh : Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, 
Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah, KPM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan